Makanan
1. Restoran Rebung

Bagi yang ingin sarapan pagi, makan tengahari buffet atau makan malam dengan selera orang Melayu dengan pelbagai pilihan menu makanan, apa kata anda ke Restoran Rebung yang dimiliki oleh chef selebriti terkenal tanahair, Dato’ Chef Ismail. Boleh dikata one stop centre untuk mereka yang ingin makanan ala kampung yang sedap di KL baik dari hidangan santai, kuih muih, sehinggalah lauk pauk yang pasti membuatkan anda pening nak memilih. Lokasinya strategik mudah diakses dari ibu kota KL di Jalan Tanglin, Tasik Perdana serta mempunyai tempat parking yang lapang, kedai yang besar dan kemudahan yang lengkap untuk pengunjung seperti makan di hotel. Dibuka 7 hari seminggu dari 7.00 am – 10.oo pm.
2. Restoran Sambal Hijau

Restoran yang terletak di Kampung Sungai Penchala, KL ini sangat menarik untuk anda terjah kalau ingin menu masakan lauk pauk kampung yang banyak pilihan dan sedap. Baik untuk makan tengahari atau malam, restoran ini tidak pernah lekang dengan kunjungan pelanggan setempat untuk menjamu lauk kampung seperti daging salai masak lemak cili api, udang galah masak lemak, gulai ketam, aneka kerabu, ulam-ulaman dan sebagainya. Kalau dikira tray lauk yang ada di sini, memang lebih daripada 15 jenis. Walaupun Restoran Sambal Hijau ini beroperasi dari awal pagi sehinggalah lewat malam setiap hari, waktu terbaik untuk datang merasa menu-menu yang masih banyak & panas sekitar 9 pagi -12 tengahari. Kalau lambat atas nasib dan rezeki anda, kalau ada ada kalau habis habislah.
3. Restoran Satay Zaini

Bercakap pasal satay, pasti Restoran Hj Samuri di Kajang yang terlintas di fikiran anda yang mana merupakan satu tempat makan menarik di Selangor untuk pelancong. Namun kalau anda di KL & inginkan kelainan rasa satay tetapi tetap sedap, apa kata ke Satay Zaini di Jalan Kolam Ayer Lama di Ampang, KL. Satay Zaini yang sudah bertapak lebih 35 tahun di KL boleh dikatakan merupakan pencabar terdekat dari segi populariti kesedapan Satay Kajang. Pelbagai jenis satay yang ada di sini seperti satay perut muda, satay ayam, daging, satay hati ayam, satay kambing & satay limpa. Yang paling mendapat sambutan di sini adalah satay daging & satay perut muda dan yang pasti kuah kacangnya memang lemak berempah lain dari tempat lain. Kalau datang malam sebaiknya sekitar 7-9 pm kalau tidak makan aranglah jawabnya
Comments
Post a Comment